Selasa, Julai 28, 2009

MESYUARAT AGUNG DWITAHUNAN KESATUAN PENOLONG PEGAWAI TANAH SEMENANJUNG MALAYSIA KALI KE-38

Alhamdulillah Kesatuan Penolong Pegawai Tanah Semenanjung Malaysia telah berjaya melaksanakan Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Kali ke-38 pada hari Sabtu, 25 Julai 2009 bersamaan 3 Syaaban 1430 bertempat di Dewan Puteri Saadong, Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, Kelantan Daru Naim.

Perasmian mesyuarat ini telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Hj. Nik Abd. Aziz bin Nik Mat. Turut hadir ialah Ybrs Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan.

Majlis perasmian ini turut diserikan dengan persembahan nasyid dari murid-murid sebuah sekolah dari Kota Bharu. Persembahan mereka cukup menyentuh hati dan difahamkan kumpulan nasyid ini adalah johan pertandingan nasyid peringkat negeri dan turut mewakili Kelantan ke peringkat kebangsaan.

Dalam ucapannya, YAB Menteri Besar menyeru kepada semua perwakilan supaya dapat sama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah kerana dengan taqwa sahaja segala pekerjaan yang dilakukan akan terpelihara dan berada di landasan yang betul. Perwakilan juga diseru supaya ikhlas, amanah dan berintegriti dalam menjalankan tugas terutamanya yang melibatkan aset kerajaan dan perkara yang berkaitan dengan amanah orang ramai.

Mesyuarat kali ini mencatat satu sejarah tersendiri apabila mencatat kehadiran perwakilan paling ramai iaitu kira-kira 800 orang dari seluruh negeri di Semenanjung Malaysia. Pada kebiasaannya kehadiran perwakilan adalah dalam lingkungan 500 orang ahli sahaja. Sebaik selesai dirasmikan, Mesyuarat Agung kali ke-38 dimulakan dengan dipengerusikan oleh Tuan Hj. Zahrullail bin Hj. Ayub (Wilayah Persekutuan) iaitu Yang Dipertua Kesatuan.

Sesi pembentangan usul kali ini hangat dengan perbahasan mengenai Pekeliling 16/2009 yang menyentuh mengenai kenaikan taraf Penolong Pegawai Tanah. Para perwakilan nampaknya cukup teruja apabila membincangkan usul-usul mengenai perkara ini. Terdapat beberapa perwakilan tidak berpuas hati mengenai kedudukan Penolong Pegawai Tanah NT 17 dan NT 22 yang diletakkan dalam NT 27. Mereka meminta supaya pihak kesatuan dapat mengambil inisiatif untuk berbincang dengan pihak JPA mengenai masalah ini. Alhamdulillah kata sepakat dicapai dan usaha ke arah itu akan dijalan pihak kesatuan dari semasa ke semasa.

Mesyuarat kali ini juga menyaksikan barisan exco yang ada dikekalkan memandangkan rekod cemerlang perkhidmatan mereka.
Acara kemuncak mesyuarat ini ialah Majlis Makan Malam yang turut diadakan di Dewan putri Saadong. Kehadiran ke majlis ini juga mencatat rekod tertinggi di mana jumlahnya mencecah kira-kira 1300 orang merangkumi perwakilan dan keluarga mereka.

Majlis ini dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Utiliti, Alam Sekitar dan Perumahan, Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman mewakili Datuk Paduka Hj. Husam bin Musa yang tidak dapat hadir atas urusan tugas penting. Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dan Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Kelantan.

Hidangan pada malam itu adalah Set Chinese Cuisine yang merangkumi 8 jenis masakan. Antara hidangan yang menarik adalah sirip yu yang biasanya menjadi makanan Maharaja Cina satu ketika dulu.

Makan malam ini dimeriahkan dengan aksi mendebarkan oleh para pesilat dari Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia (PSSGM). Persembahan ini amat menghiburkan tatapi penuh dengan rasa cemas terutamanya aksi berlawan dengan senjata tajam. Alhamdulillah semuanya selamat.
Persembahan Dikir Barat juga tidak kurang menarik. Perwakilan dihiburkan oleh Kumpulan Dikir terkemuka Malaysia iaitu Sri Kembayat yang diketuai oleh aktivis seni Encik Megat Nordin. Beliau terkenal dengan lagu popularnya dalam dialek Kelantan iaitu “Ambo Ghaso Bekene’. Untuk makluman kumpulan ini pernah menjuarai Dikir Barat peringkat Kebangsaan dan pernah mewakili negara membuat persembahan di Kotaraya London.

Kesimpulannya majlis mesyuarat kali ini boleh dikatakan yang amat berjaya dan bersejarah. Tahniah diucapkan kepada AJK Kesatuan Peringkat Pusat atas kejayaan ini. Dan terima kasih yang tidak terhingga di atas usaha anda membawa mertabat kesatuan ke hingga ke kedudukan ini.

Tahniah juga diucapkan kepada AJK Kesatuan Perhubungan Negeri Kelantan yang diketuai oleh Tuan Hj. Ab. Shatar bin Muhamad atas kejayaan yang amat manis ini. Terima kasih atas budi baik, layanan dan kesabaran anda. Hanya Allah SWT yang dapat membalasnya. Insyaallah kami akan berkunjung lagi ke sana...

Kepada Kesatuan Perhubungan Pulau Pinang diucapkan tahniah dan terima kasih kerana sudi menjemput kami ke rumah anda. InsyaAllah jika tiada aral melintang kami akan tiba jua pada 2011 nanti.

Berkesatuan Membawa Perpaduan



Tiada ulasan: