Khamis, September 11, 2008

Sekilas Pandang Daerah Kerian

Daerah Kerian adalah merupakan sebuah daerah yang dikenali sebagai daerah "Jelapang Padi Negeri Perak". Dengan keluasan 918.83 Km persegi dan meliputi 8 mukim dan disempadani oleh 2 negeri menjadikannya lebih istimewa dan mendapat perhatian ramai. Ia merupakan sebuah daerah yang sedang membangun dari segala segi tidak mengira ekonomi, pertanian, pelancongan, serta pembangunannya yang sedang pesat berdiri megah. Daerah ini masih mengekalkan tradisi lamanya di mana bangunan-bangunan lama tidak dirobohkan malah diperbaiki supaya ianya bertahan hingga ke zaman seterusnya. Keadaan ini menunjukkan pentadbiran daerah masih menghargai peninggalan orang lama untuk tatapan generasi akan datang. Pada keseluruhannya, fizikal tanah dalam daerah ini adalah rata dan bergambut kecuali terdapat beberapa kawasan berbukit di mukim Gunong Semanggol dan Beriah. Terdapat 2 sungai penting dalam daerah ini iaitu Sungai Kerian dam Sungai Kurau. Daerah Kerian dibahagikan kepada 8 buah mukim iaitu Mukim Parit Buntar, Bagan Tiang, Tanjung Piandang, Kuala Kurau, Bagan Serai, Beriah, Gunong Semanggol dan Selinsing terletak di bawah 8 pentadbiran Penghulu Mukim dan 93 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang diamanah dan bertanggungjawab untuk mentadbir 246 unit kampung.

Tiada ulasan: